Sunday 23 October 2011

Bahasa Melayu di IPTS (Bahagian I)

Usaha untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan terutamanya di institusi pendidikan tinggi swasta mengalami perubahan status apabila Akta Pendidikan 1996 diluluskan oleh Parlimen Malaysia.    Menurut tafsiran Seksyen 2 dan seksyen berkenaan dalam Akta 1996, bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa penghantar di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Walau bagaimanapun, menurut Seksyen 17(1) Menteri ada kuasa mengecualikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di mana-mana institusi pendidikan lain.
Peruntukan tersebut jelas menunjukkan bahawa kedudukan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar telah mengalami perubahan dan dilihat semakin terancam.   Kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia  melalui Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen. Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 pula menghendaki bahasa kebangsaan digunakan untuk maksud rasmi. Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan kekecualian, iaitu dengan syarat bahawa tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain.     
            Berdasarkan perkara ini, mahkamah pernah memutuskan, dalam kes Universiti Merdeka lawan Kerajaan Malaysia, bahawa oleh sebab tiadanya perkataan “in” (dalam), maka hak untuk mengajar “dalam” bahasa Cina atau sesuatu bahasa lain, selain bahasa Melayu tidak dibenarkan dan bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. 
Pengiktirafan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) sebagai sebahagian daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan dibuat melalui Seksyen 16 Akta 1996. Oleh sebab IPS merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan, maka IPS mempunyai pilihan dalam hal penggunaan bahasa penghantar sama ada untuk mengikut amalan sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan atau memohon kecualian mengikut seksyen 17 akta berkenaan. Dengan perkataan lain, IPS mempunyai kebebasan seluas-luasnya dalam menentukan penggunaan bahasa penghantar. Kelonggaran inilah yang merendahkan martabat bahasa Melayu sekali gus melemahkan pencapaian falsafah dan matlamat dasar pendidikan kebangsaan.    
 Tetapi berapa keratlah daripada kita yang peduli dengan semua ini? Perkembangan pesat institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di negara ini nampaknya memudaratkan lagi kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. IPTS boleh dianggap sebagai penyelamat kepada mereka yang tidak begitu mementingkan pencapaian yang baik dalam Bahasa Melayu.
Kelulusan Bahasa Melayu ini tidak mempunyai nilai langsung jika pelajar mengambil program yang ditawarkan dengan kerjasama universiti luar negara. Malah Persatuan Kolej-Kolej Swasta Malaysia (MAPCO) sendiri mengakui Bahasa Melayu bukanlah keutamaan untuk seseorang melanjutkan pelajaran ke IPTS.
Perkara yang penting ialah kredit yang baik dalam mata pelajaran lain dan bersesuaian dengan program yang dipohon. Satu tamparan kepada Bahasa Kebangsaan, tetapi kita menutup sebelah mata terhadap penghinaan ini kerana kita begitu dibayangi dengan kehebatan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan bahasa dunia. Oleh itu, bahasa Inggeris diangkat menjadi bahasa pengantar dan ini pula bukan satu "dosa', walaupun kita telah mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu di IPTS bukanlah satu kesalahan kerana Akta IPTS 1996 sendiri yang menghalalkannya, terutamanya jika sesebuah IPTS itu mempunyai pelajar asing. Inilah budaya yang sentiasa ditanam dalam jiwa rakyat negara ini. Sentiasa memuliakan tetamu walau sering kali akhirnya hak kita sendiri terkorban.
Melihat dari satu segi, Seksyen 75 sebenarnya tidak memberikan apa-apa kuasa kepada Menteri dalam menghendaki pengajaran mata pelajaran tertentu yang relevan dalam konteks pendidikan bersepadu dan kenegaraan di peringkat menengah atas kerana Menteri hanya boleh meminta (may require) institusi pendidikan swasta untuk mengajarkan mata pelajaran bahasa kebangsaan apabila bahasa lain digunakan sebagai bahasa penghantar. Hal ini bermakna bahawa Menteri tidak diberi kuasa yang jelas untuk membolehkan pengajaran mata pelajaran bahasa Melayu diwajibkan. Selain itu, bahasa Melayu hanya diajarkan sebagai mata pelajaran tambahan di samping mata pelajaran lain yang diajarkan di institusi pendidikan tinggi swasta. Kesan lain yang ketara ialah bahasa Melayu mungkin tidak mempunyai tempat dalam kurikulum pendidikan swasta kerana bukan sahaja boleh tidak menjadi bahasa penghantar tetapi boleh juga tidak menjadi bahasa wajib. Malah, kedudukannya sebagai bahasa pilihan sebagai bahasa asing tidak disebut sama sekali.Wallahualam...

No comments:

Post a Comment