Apabila membincangkan mengenai
institusi perkahwinan, pasti ramai pasangan pada masa kini yang menghadapi
dilema perkahwinan jarak jauh. Hal ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor
utama antaranya ialah faktor ekonomi. Perkara seumpama ini sudah menjadi
keperluan semasa kerana kedua-dua pihak, baik suami mahupun isteri
masing-masing memilih untuk sama-sama bekerja bagi memantapkan lagi ekonomi
keluarga.
Perkahwinan itu sendiri membawa
maksud penyatuan dua hati dari segi zahir dan batin. Pasangan yang telah
berkahwin sudah tentu mengharapkan kehidupan berumah tangga lebih indah dan
bermakna. Jujur, bertolak-ansur dan saling percaya-mempercayai menjadi kunci
utama dalam menjaga kerukunan rumah tangga. Namun, tidak kesemua pasangan dapat
melalui kehidupan berumah tangga dan melalui susah payah bersama. Terdapat
ramai pasangan yang terpaksa menelan perit jerih sendiri disebabkan faktor
ekonomi yang menyebabkan mereka terpaksa tinggal berasingan dan berjauhan.
Saya tertarik dengan kisah seorang
rakan yang telah beberapa tahun tinggal berasingan dengan pasangannya.
Kecekalan rakan saya ini diharapkan dapat menjadi iktibar kepada pasangan lain
yang turut merasai perkara yang sama. Sejak awal perkahwinan lagi, pasangan ini
terpaksa menerima hakikat bahawa kehidupan rumah tangga mereka tidak akan sama dengan pasangan yang lain. Si suami
bekerja dengan kerajaan dan mempunyai banyak tanggungan. Manakala si isteri
pula bekerja dengan pihak swasta dan mempunyai gaji melebihi suami.
Jadi, siapa yang perlu mengalah?
Mungkin ada pandangan yang mengatakan bahawa si isteri perlu mengikut suami
kerana si isteri perlu berada di sisi suami dan mungkin juga ada pandangan di
sebaliknya. Berbalik pada kisah rakan saya tadi, setelah berkahwin si isteri
disahkan hamil dan menambahkan lagi kekusutan pada pasangan ini. Selain dari
faktor ekonomi yang semakin bertambah keperluannya, emosi si isteri sering
tersentuh tatkala membuat pemeriksaan kandungan secara berkala di klinik
kerajaan setiap bulan, mana tidaknya pasangan lain datang ke klinik ditemani
suami tercinta, manakala si isteri ini tadi mujur ditemani oleh rakan karibnya.
Ini masih belum mencukupi untuk
mengubati perasaan si isteri yang sedikit kecewa kerana suaminya tidak dapat
menemaninya seperti yang diharapkannya.
Akhirnya rakan saya telah selamat
melahirkan cahaya mata yang pertama. Apa yang menariknya ialah pendekatan yang
digunakan oleh pasangan ini iaitu menjaga anak secara bergilir-gilir. Memang
semasa 5 bulan pertama keluarga mertua banyak membantu menjaga si kecil, namun
setelah anak mereka besar sedikit masing-masing bergilir-gilir menjaga anak
agar keperluan anak tidak terabai dan anak masih lagi merasai kasih-sayang dari
ibu dan ayah.
Bukan mudah untuk mencari
penyelesaian bagi masalah ini. Bagi pihak pasangan itu sendiri, sentiasalah
bertolak-ansur agar setiap apa yang dilakukan dapat meringankan bebanan
masing-masing. Banyakkan berdoa kepada Allah swt dan memohon agar setiap urusan
akan dipermudahkan olehNya.
Di sinilah saya melihat konteks
masyarakat sekeliling dalam hal ini, sebagai rakan kita seharusnya memberi
sokongan moral kepada rakan yang mempunyai masalah PJJ ini. Peranan kita sangat
penting bagi membantu rakan-rakan agar lebih kuat untuk mengahadapi ujian Allah
swt dengan lebih tabah. Saya memerhatikan kadangkala masyarakat sekeliling
menjadi api dalam sekam, bukannya mahu memberikan kata-kata semangat dan
dorongan melainkan bertanya soalan yang boleh menyebabkan individu yang
menghadapi PJJ ini lemah semangat. Soalan-soalan lazim yang biasa ditanya ialah
suami awak tidak datang teman awak ke klinik ke? Bila suami awak boleh pindah
ke sini? Suruhlah suami awak mintak tukar kerja dekat sini cepat? Dan pelbagai
lagi soalan tidak masuk akal. Sudah-sudahlah bertanya soalan lazim sebegini
kerana rakan kita ini sebenarnya tidak punya jawapan melainkan memendam rasa
sedih.
Selain dari itu, pasangan perlulah
sentiasa berbincang mengenai hala tuju perkahwinan mereka. Kadangkala faktor
gaji sering diperdebatkan kerana mempunyai kewangan yang kukuh adalah penting
pada zaman yang serba mencabar ini. Jikalau pendapatan bulanan isteri lebih
tinggi apa salahnya si suami mengalah dengan berhenti bekerja.
Terdapat kes yang dilaporkan di dada akhbar
mengenai suami yang sanggup berhenti bekerja dan mengambilalih tugas isteri di
rumah seperti memasak dan mengasuh anak. Si suami membuang egonya demi
memastikan mereka dapat tinggal sebumbung dan keperluan keluarga dan anak-anak
tidak terabai. Alangkah indahnya jika ada tolak ansur sebegini dalam kehidupan
berumah tangga.
Begitu juga halnya jika pendapatan
si isteri lebih rendah dari suami, apalah salahnya jika si isteri berkorban
dengan berhenti kerja demi untuk menjamin kehidupan yang lebih baik dan teratur
dalam berumah tangga. Pasti ramai yang akan mempertikaikan bahawa jika zaman
sekarang ini hanya salah seorang pasangan sahaja yang bekerja, begaimana nak
hidup? Berpegang teguh dan percayalah pada Qada’ dan Qadar dari Allah swt
kerana sesungguhnya andai kita bersabar dengan ujian Allah swt ini insyaAllah
Allah swt akan memberikan rezeki yang berlipat ganda kepada hambaNya.
Berkorbanlah andai itu yang mendatangkan yang terbaik untuk rumah tangga kita.
Percayalah bahawa rezeki Allah swt itu ada di mana-mana.
Anda juga perlu memikirkan mengenai
anak-anak anda yang sedang membesar. Mungkin di awal perkahwinan anda boleh
bertahan dengan situasi dan permasalahan ini, tetapi fikirkan pula apabila
anak-anak anda semakin menginjak umur dan semakin membesar, mereka sangat
memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Anak-anak akan
mula membanding-bandingkan situasi rakan-rakan mereka yang tinggal bersama
dalam sebuah keluarga yang lengkap dengan keadaan mereka yang mempunyai ibu dan
bapa tetapi tinggal berjauhan. Sudah tentu emosi mereka akan tergganggu.
Jadi, sentiasalah berfikir secara
positif. Tidak semua manusia bernasib baik. Tetapi sebagai manusia, kita perlu
sentiasa berusaha dan berdoa agar perjalanan hidup kita berjalan dengan baik
dan mendapat keredhaan daripada Allah swt. Elakkan dari berfikiran negatif,
kerana semakin kita tertekan maka kita akan menghilangkan vitamin C dalam badan
dan tubuh akan tidak bermaya malahan boleh mendatangkan banyak penyakit yang
memudaratkan seperti hypertensi dan
lain-lain. Oleh hal yang demikian, berkorbanlah untuk kebaikan keluarga dan
anak-anak kerana setiap pengorbanan yang kita lakukan pasti akan mendapatkan
hasil yang menggembirakan. Apabila kita menanam benih, pasti kita mengharapkan
akan membuahkan hasil yang manis dan menguntungkan. Jadi, jangan mudah berputus
asa.
Manusia Hawa dijadikan
daripada rusuk manusia Adam, bukan dari kepalanya untuk menjadi atasnya, bukan
daripada kakinya untuk menjadi alasnya, tetapi dari sisinya untuk menjadi teman
hidupnya, dekat dengan lengannya untuk dilindungi dan dekat di hatinya untuk
dicintai.
Sabar dan saling mempercayai kunci kebahagiaan
Sabar dan saling mempercayai kunci kebahagiaan
^LOVE^